Objektif Pengurusan Islam menurut Maqasid Syariah



PENGENALAN


Sebuah organisasi perlu mempunyai matlamat atau objektif pengurusan yang tersendiri. Begitu juga di dalam pengurusan Islam, objektif pengurusan merupakan sesuatu yang sangat penting kerana menggariskan hala tuju yang akan dicapai oleh sesebuah organisasi. Bagi memastikan sesebuah organisasi ini berjalan dengan lancar maka wujudnya maqasid syariah yang merupakan matlamat umum syariah.

Seterusnya, ia membolehkan segala usaha digerakkan ke arah objektif pengurusan Islam dan perancangan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan mengambil realiti masa dan pengalaman. Selain itu, ia juga membolehkan pengukuran dapat dilakukan dengan sebaik mungkin terhadap pencapaian yang diperoleh.

Islam merupakan mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia pada setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya yang muqaddas iaitu al- Quran dan as-sunnah Islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat Islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.

Sistem pengurusan Islam,sistem yang sangat lengkap dan sistematik kerana ia berpandukan al-Quran dan as-sunnah. Pengurusan Islam memainkan peranan penting dalam membentuk dan melahirkan pengurus,ketua, pemakmur,alam mengikut kerangka berfikir, nilai dan prinsip Islam. Pengurusan Islam merangkumi peranan tauhid sebagai asas pengurusan dan pendekatan Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh dan bersepadu dalam melaksanakan pengurusan Islam. Ia merupakan unsur penyerahan diri manusia sebagai khalifah di muka bumi yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah s.w.t.



OBJEKTIF PENGURUSAN ISLAM

Objektif utama pelaksanaan ajaran Islam ialah untuk mengatur kehidupan manusia atas asas amar makruf dan mengenepikan mungkar. Istilah amar makruf bererti mengajak kepada kebaikan dan sifat baik yang selalunya diterima oleh naluri manusia sebagai baik. Manakala mungkar pula membawa erti mencegah kemungkaran dan kejahatan yang selalunya dikecam oleh naluri manusia sebagai jahat.

Menurut Rasid et al. (2008), objektif sesebuah organisasi merupakan gagasan umum yang melambangkan matlamat yang hendak dicapai dan menjadi garis panduan oleh sesebuah organisasi. Objektif yang jelas membolehkan segala sumber serta usaha digerakkan kearah pencapaian objektif. Perancangan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan mengambil kira realiti masa ini, pengalaman masa lampau serta tuntutan untuk masa hadapan. Objektif membolehkan pengukuran dapat dilakukan dengan sebaik mungkin terhadap pencapaian yang diperoleh dan mengenal pasti masalah, cabaran serta pendekatan yang dilakukan untuk menghadapi masalah yang datang

Pada prinsipnya perlaksanaan syariah dan ajaran Islam keseluruhannya bertujuan untuk menyelamatkan dan memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dan mengelakkan segala keburukan. Menurut Islam, keperluan kemaslahatan manusia boleh dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah.

Ibnu Asyur telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua bahagian iaitu maqasid umum dan maqasid khusus di mana maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum. Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak-tanduk seseorang di mana hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat dan sebagainya. Ini adalah bagi memastikan bahawa apa yang ingin dilaksanakan atau dirancang memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua, terjamin serta menampakkan impak positif dan paling utama ialah tidak melanggar batasan atau kehendak syariat yang telah ditetapkan. Kepentingan asas dalam maqasid ini dalam usaha memahami dan melaksanakan dasar politik, ekonomi dan sosial yang bersesuaian, perlindungan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah ciri universal yang sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan sesebuah negara dan bangsa.




MATLAMAT UMUM SYARIAH (MAQASID SYARIAH)

Menururt konteks pengurusan Islam, objektif umum sesebuah organisasi seharusnya tidak lari daripada matlamat umum syariah Islamiah. Maqasid ini  membuktikan bahawa Islam ialah sistem hidup yang lengkap, komprehensif, relevan pada bila-bila masa dan sudah tentu boleh dilaksanakan dalam apa-apa jua urusan kehidupan .Garis panduan yang ideal ini adalah untuk memastikan segala keperluan, kehendak dan aspirasi kehidupan dapat dipenuhi serta terpelihara. Hal ini juga selari dengan prinsip maqasid  syariah iaitu menjamin serta melindungi maruah, kepentingan dan serta kehormatan individu di samping memelihara  keharmonian hubungan sesama manusia. Oleh itu, untuk mencapai objektif pengurusan Islam, strategi, etika dan budaya yang ingin dikembangkan dalam sesebuah organisasi perlu seiring dengan matlamat syariah Islam.

Maqasid Syariah secara umumnya adalah rantaian lima prinsip Islam yang asas iaitu menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, pada hari ini teras Maqasid Syariah sangat penting dalam penerapannya sebagai model strategik dalam pentadbiran negara kita ke arah negara maju dan harmoni di mana prinsip asas ini juga menjadi keperluan fundamental kepada pengukuhan sistem pengurusan kewangan dan ekonomi negara, pendidikan serta politik di samping pemantapan pengurusan masyarakat majmuk di Malaysia secara menyeluruh malah sebagai teras terpenting dalam pemerkasaan institusi perlembagaan serta perundangan negara berlandaskan prinsip maqasid syariah yang berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik.

Dalam pada itu, seperti yang telah disepakati oleh Imam Syartibi dan Al Ghazali bahawa matlamat-matlamat syariat berkenaan merangkumi lima komponen maqasid yang sangat mustahak iaitu Hifz al-Aql (akal), Hifz al-Din (agama), Hifz al-Mal (harta), Hifz al-Nafs (nyawa) dan Hifz al-Nasb (keturunan), iaitu setiap perundangan hukum itu mestilah bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia.


Dalam aspek yang lebih luas, maqasid syariah juga telah diperdebatkan sebagai matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat Islam demi kepentingan umat manusia sejagat merujuk kepada pandangan Ahmad Al-Raisuni. Selanjutnya, Ibnu Rusyd pula turut menyifatkan maqasid sebagai hikmah di sebalik pensyariatan sesuatu hukum. Manakala pada pandangan al-Syatibi, Allah telah menetapkan syariatNya untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia dan mengelakkan sebarang kerosakan daripada menimpa mereka. Dalam konteks ini, prinsip utama syariah tidak boleh dipandang ringan atau tidak diberikan perhatian sewajarnya kerana matlamatnnya sangat objektif dan sangat praktikal bagi menjamin kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan keturunan umat manusia di mana prinsip maqasid syariah juga mampu membantu melancarkan urus tadbir sesebuah kerajaan dalam peranan pembentukan individu sehinggalah kepada sebuah negara yang sempurna sama ada dalam bidang intelektual, ketenteraan, sains teknologi, ICT dan sebagainya.



1.      MENJAGA KESELAMATAN AGAMA (Hifz al-Din)

Matlamat syariah yang pertama dan terpenting dalam kehidupan seseorang Muslim ialah menjaga keselamatan agama. Agama menjadi pemisah kualiti sebenar seorang Muslim dan amat berkait rapat dengan aspek akidah. Dalam konteks organisasi, aspek keagamaan perlu dititikberatkan. Kegiatan yang dilaksanakan perlulah dijaga agar tidak bercanggah dengan ajaran yang berteraskan fahaman tauhid serta tidak menggugat akidah yang dianuti seseorang.
Bagi memastikan manusia tetap kekal sebagai makhluk yang paling mulia di sisi Allah, agama Islam mestilah menjadi pegangan yang utama bagi manusia. Kegiatan yang meningkatkan keimanan dan keteguhan akidah perlu dibudayakan.

Untuk itu, Islam memerintahkan manusia mengamalkan aqidah yang betul supaya perjalanan hidup mereka akan menjadi lebih teratur dan sempurna. Allah S.W.T. melaknati mereka yang membawa kerosakan kepada agama seperti penyebaran agama sesat, murtad dan sebagainya.
Membebaskan minda dan kepercayaan manusia dari dibelenggu khurafat, tahyul, bid'ah, munafik, ideologi, dan taklid buta merupakan perkara utama yang ditegaskan menurut susunan atau hierarki maqasid syariah.

Dalam masa yang sama, Islam mengharamkan segala bentuk perbualan yang membawa kepada syirik terhadap Allah. Contohnya, menilik nasib, mempercayai sihir, mempercayai perkara khurafat dan sebagainya. Oleh itu, cara untuk mengatasinya ialah setiap muslim hendaklah berhati-hati semasa menjalani kehiduppan ini agar tidak tersasar daripada landasan akidah.


Dalil:

Sabda Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesiapa yang menukar agamanya(murtad),maka bunuhlah dia.”
(hadis riwayat:Bukhari)


Islam datang untuk membebaskan minda dan kepercayaan manusia daripada belenggu khurafat, tahyul, munafik dan syirik. Islam mengajak manusia beriman kepada Tuhan yang satu dan Esa iaitu Allah S.W.T. dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya (rukun iman) serta menjauhi anasir-anasir syirik dengan menjelaskan pelbagai panduan unluk melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Contohnya : Ibarat rumah yang dilengkapi dengan tiang dan bumbung, begitu juga dalam agama, kita perlu menjaga aqidah kita dengan solat. Solat merupakan tiang agama manakala bumbung rumah pula diikuti dengan amalan yang dilakukan.


2.      MENJAGA KESELAMATAN NYAWA (Hifz al-Nafs)

Nyawa dan tubuh fizikal manusia sangat penting kerana tujuan utama Allah S.W.T. menjadikan manusia itu adalah untuk beribadat kepada-Nya. Oleh itu Allah memerintahkan manusia supaya sentiasa menjaga kesihatan jiwa dan tubuh fizikal, memerintahkan manusia makan dan minum dari makanan dan minuman yang halal dan baik dan mengelakkan dari sebarang perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada tubuh badan dan jiwa mereka. Untuk mengelakkan dari berlakunya kerosakan ke atas jiwa dan tubuh badan, maka Islam melarang keras sebarang kesalahan yang melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan tubuh badan seperti membunuh (termasuk membunuh diri), mencederakan, memakan makanan yang kotor dan bernajis dan sebagainya.

Contohnya: Dalam peraturan jalan raya kita perlulah patuh kepada lampu isyarat agar kita dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan. Begitu juga dengan manusia, Allah telah menentukan yang terbaik untuk hambanya. Jika kita merasai kesedihan jangan menyakiti diri atau nyawa sendiri mahupun orang lain sebagai penyelesaian setiap masalah.

Hal ini mewajibkan seseorang itu memelihara nyawanya dan nyawa orang lain sejajar dengan firman Allah, iaitu :




Maksudnya:

''Dengan sebab ( kisah pembunuhan kejam ) yang demikian itu, Kami tetapkan atau Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah - olah dia telah membunuh manusia semuanya, dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.''
                                                                                                       ( Surah al - Maidah 5:32 )


Maksud ayat tersebut  menjelaskan bahawa nyawa perlu dipelihara oleh setiap individu. Oleh itu, dalam konteks organisasi, persoalan keselamatan harus diberi keutamaan. Hal ini termasuklah unsur keselamatan di tempat kerja atau di sesebuah lapangan perlu dititikberatkan. Segala kegiatan yang boleh menggugat atau mengancam nyawa manusia hendaklah dihindari.


Firman Allah s.w.t. lagi





Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar". Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).
                                                                          ( Surah al-Anam ayat 151)


3.      MENJAGA KESELAMATAN AKAL (Hifz al-Aql)

Akal adalah asas bagi manusia. Akal juga adalah ukuran perbezaan antara manusia dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Tanpa akal, manusia tidak mempunyai apa-apa. Pernahkah anda terfikir bahawa haiwan, sekalipun tidak berakal, dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan keistimewaan yang lain. Ada haiwan yang boleh terbang di udara, ada yang boleh menyelam di air, ada yang sangat besar dan gagah fizikalnya, ada yang sangat pantas pergerakannya dan keistimewaan yang lain-lain lagi. Kesemua keistimewaan ini tiada pada manusia.

Tanpa akal, manusia akan menjadi lebih rendah dan lebih lemah kedudukannya kerana manusia tidak ada apa-apa keistimewaan dan kekuatan. Justeru, pentingnya kedudukan akal, maka Islam memerintahkan manusia supaya sentiasa memelihara kesihatan akal dan berusaha mengembangkan potensi akal dengan cara berfikir tentang ciptaan dan kebesaran Allah s.w.t., membaca, menuntut ilmu dan sebagainya.

Melalui keistimewaan inilah manusia diberikan status sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi bersesuaian dengan ketentuan dan perintah Allah s.w.t. Melaluinya, manusia dapat mengeksploitasi segala anugerah alam untuk kesejahteraan manusia. Bersesuaian dengan tujuan ini dan agar akal dapat berfungsi dengan sewajamya, syariah Islam telah menegaskan mengenai kepentingan untuk menuntut dan menguasai ilmu pengetahuan.

Firman Allah s.w.t. :

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah mencipta. . .”
                                                                                                            (Surah al- Alaq ayat 1)

Contohnya, segala unsur yang boleh merosakkan akal adalah sama sekali dilarang dalam Islam, termasuklah minum arak, mengambil dadah, serta memikirkan perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia.

Hal ini disebut di dalam firman Allah :

''Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.''
(surah Al-Maidah ayat 90)

Akal akan bertindakbalas melalui pelbagai ilmu yang dimiliki. Jika akal atau minda manusia tidak di isi dengan ilmu pengetahuan, ianya akan mengakibatkan kelemahan kekuatan berfikir. Jika ini terjadi, manusia akan mensia-siakan fungsi kemanusiaan dan kekhalifahannya. Kehidupan meraka akan menjadi rendah nilaianya dan kadangkala lebih hina daripada haiwan yang hanya hidup untuk rnakan, minum dan memuaskan hawa nafsu sahaja.


4.      MENJAGA KESELAMATAN MARUAH DAN KETURUNAN (Hifz al-Nasb)

Islam sangat mementingkan institusi kekeluargaan yang aman dan harmoni. Hal ini kerana sesebuah masyarakat tidak mungkin menjadi masyarakat yang baik dan berjaya jika institusi kekeluargaan yang membentuk masyarakat berada dalam keadaan yang tidak terurus. Islam menganggap institusi keturunan merupakan satu keperluan asas fitrah manusia. Institusi keturunan dan kekeluargaan itu sebenarnya merupakan pendinding kepada satu lagi keperluan penting manusia dalam kehidupannya iaitu maruah.

Maruah berasal daripada bahasa Arab iaitu maru’ah yang secara umumnya boleh diertikan sebagai harga diri. Harga diri merupakan satu perkara asas bagi manusia. Ia memberi imej tentang tahap kedudukan manusia dari segi status akhlak dan integritinya menurut Islam. Tiada nilai bagi seseorang manusia yang tiada harga diri dan maruah. Justeru, pentingnya unsur ini dalam kehidupan manusia, maka Islam mengajarkan manusia beberapa perkara untuk memelihara keperluan keturunan dan maruah. Antaranya ialah sistem perkahwinan yang teratur, hubungan kekeluargaan yang harmoni dan sistem perhubungan berlainan jenis yang terhormat. Seterusnya, untuk mengelakkan dari berlakunya kerosakan terhadap keperluan asas ini, maka Islam melarang dan mengenakan hukuman yang keras bagi kesalahan seperti penzinaan, jenayah rogol dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bemaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". Jika diteliti seluruh perintah dan larangan Allah S.W.T. akan didapati bahawa ianya bertujuan semata-mata untuk membentuk keperibadian yang luhur dan terhomat. Lihatlah kepada kesan kewajipan bersolat, berpuasa, mengeluarkan zakat, menunaikan ibadat haji dan lain-lain lagi. Semua ibadat khusus ini jika ditunaikan dengan penuh ketertiban akan dapat membentuk ketinggian dan kemuliaan akhlak. Oleh itu segala bentuk yang boleh membawa kepada pencabulan maruah dan keturunan manusia adalah dilarang sama sekali. Jika diperhatikan tegahan dan larangan Allah S.W.T. ianya mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk menghindarkan manusia daripada terjatuh ke lembah kehinaan.



Contohnya, seperti pengharaman zina, mengumpat, bercakap bohong, mencuri dan lain-lain lagi. Ianya mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk menghindarkan manusia daripada terjatuh ke lembah kehinaan. Lantaran itulah, Allah s.w.t. telah mengharamkan perbuatan-perbuatan ini.

 Allah s.w.t. telah berfirman :

 ''Dan janganlah kami menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
( Surah al- Isra' 17:32 )


Dalam soal pengharaman judi dan meminum arak, Allah s.w.t berfirman :

: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya [meminum] khamar, berjudi, menyembah berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan, makajauhilah perbuatan-perbuatan itu. . . ".
                                                                                         ( Surah al-Maidah ayat 90)

Dalam konteks organisasi, perkara yang boleh mendorong kepada perbuatan zina dan mencabul kehormatan orang lain hendaklah dihalang dengan segera. Hal ini dapat dilaksanakan dengan meningkatkan kesedaran beragama serta mewujudkan budaya yang boleh mengukuhkan nilai dalaman dan akhlak pekerja. Dengan itu, organisasi dapat dilihat .Kesimpulannya, seluruh perintah dan larangan Allah s.w.t. dapat dikaitkan dengan kepentingan untuk menjamin kehormatan dan maruah diri.



5.      MENJAGA KESELAMATAN HARTA (Hifz al-Mal)

Menjaga dan memiliki harta merupakan salah satu tujuan atau maqasid syariah. Tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang sempurna bagi sesorang manusia juga amat berkait rapat dengan pemilikan dan penguasaan terhadap harta. Menyedari hakikat inilah, syariah Islam telah menggariskan peraturan, hukum dan undang- undangnya yang tersendiri dalam soal kehartaan. la dibincangkan secara meluas di dalam displin dan bidangnya yang tersendiri yang dikenali sebagai Fiqh Muamalat Umumnya, bidang ini telah menggariskan prosedur-prosedur tertentu bermula sejak dari usaha untuk memiliki, menguasai dan membelanjakan sesuatu harta.

Contoh untuk mendapatkan harta mengikut cara yang betul, Islam mensyariatkan kaedah pemilikan harta seperti jual beli, sewaan dan sebagainya. Manakala bagi melindungi keselamatan harta, Allah mengharamkan jenayah mencuri dan mengarahkan kuatkuasa undang-undang hudud serta mengharamkan kita memakan harta anak yatim. Pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan pendekatan yang diharuskan. Dalam hal ini, misalnya syariah Islam telah mengharuskan jual beli dan telah mengharamkan riba. Di samping itu, dalam usaha pemilikan harta ini, selain daripada riba, syariah Islam juga misalnya telah mengharamkan perjudian, rasuah dan pengurangan atau penipuan dalam timbangan.


“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang telah mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman   pencegahan daripada Allah, dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa  lagi Maha Bijaksana”                                                                                                                     
                                                                                                         (Surah al-Maidah 5:38)  



Syariah Islam juga telah menetapkan cara dan kaedah yang tertentu bagi membelanjakan harta. Di antaranya syariah Islam telah mewajibkan zakat kepada harta-harta yang tertentu dan amat menggalakkan sedekah dan pemberian hadiah dalam keadaan-keadaan tertentu. 

Firman Allah s.w.t :

"Hendaklah kamu membelanjakan harta kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”. 
                                                                                                    ( Surah al-Baqarah ayat 195 )


KESIMPULAN

Kesepaduan dan keseimbangan sistem Islam ini bukan sahaja dalam aspek hukum bahkan juga dalam segala ciptaan Allah termasuk penciptaan langit dan bumi serta peredaran bulan bintang dan matahari. Semuanya bersifat sepadu dan seimbang.

Seimbang bermaksud sama berat atau tidak berat sebelah. Keseimbangan juga dapat dilihat dari sudut rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Begitu juga dalam aspek peraturan dan undang-undang. Ia tidak mengatur kehidupan masyarakat dengan kekuatan undang-undang semata-mata dan juga tidak membiarkan ia disusun mengikut pemikiran individu sahaja. Sebaliknya Islam menggabungkan antara kedua-duanya iaitu individu yang cintakan keharmonian dan undang-undang yang menjamin hak setiap orang tidak dizalimi.

Islam juga menjamin keseimbangan antara kepentingan individu dan masyarakat supaya tidak ada satu hak pun yang teraniaya di antara kedua-duanya. Segala prinsip dan dasar syariah Islam yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. adalah bersifat tetap dan tidak boleh serta tidak akan berubah disebabkan oleh desakan atau sentimen mana-mana individu.

Syariah Islam merupakan satu dokumen perundangan yang lengkap, adil, menyeluruh dan merangkumi seluruh aspek yang berkaitan dengan kepentingan manusia. Syariah Islam yang bercirikan rohani ini sudah semestinya akan dapat menegakkan keadilan dalam sebarang pertikaian di antara sesama manusia di samping ianya sudah pasti dapat mengimbangi seluruh keperluan dan kepentingan manusia. Kepatuhan dan ketaatan kepada syariah Islam sudah tentu akan membawa kehidupan manusia kepada kebahagiaan bukan sahaja di dunia bahkan sepanjang di alam akhirat.


RUJUKAN

Asmadi Mohamed Naim, 2003. Maqasid Syariah dan Pemikiran Pengurusan Islam (Maqasid Syariah and Islamic Management Thinking). Sintok: Penerbit UUM.

Laman web: http://fikrah.interaktif.tripod.com/Agama/maqasid.html




Wan Jemizan Wan Deraman, 2010. Maqasid syariah dalam kewangan Islam. Utusan Malaysia, 31 Mac 2010